BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 18 April 2009

KERATAN AKHBAR

BERITA HARIAN, ISNIN 11 FEB 2008
Oleh Srihanasham Noordin


JOHOR BAHRU: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis hilang sejak Khamis lalu, ketika menuruni Gunung Tahan, Pahang, selepas terpisah daripada 35 rakannya yang turut sama mendaki gunung itu menerusi program unit beruniform universiti berkenaan.

Kehilangan Nur Umaisarah Sameon, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan itu hanya disedari rakan sepasukannya ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi.



Difahamkan, 36 pelajar terbabit bersama seorang pegawai pengiring mendaki Gunung Tahan pada 5 Februari serta bermalam di Kem Kor dan pada hari kedua, mereka mendaki lagi dan bermalam di Kem Botak sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya dan terus turun ke Kem Kor semula untuk pulang.

Bapanya, Sameon Hassan, 44, berkata beliau dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya Jumaat lalu, jam 9 malam oleh renjer Jabatan Perhilitan Taman Negara, Pahang, dan diberitahu bahawa usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

"Kami sekeluarga berada di kampung di Felda Endau, Rompin ketika menerima panggilan telefon mengenai kehilangan Umaisarah.

"Saya terus membuat laporan polis keesokan harinya, kerana bimbang tiada tindakan diambil bagi mencari anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendahara, di sini, semalam.

Sameon berkata, anak sulungnya itu memberitahu mengenai program mendaki Gunung Tahan itu sejak sebulan lalu dan memulakan pendakian pada 4 Februari, sempena cuti umum sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, beliau difahamkan bahawa kehilangan anaknya disedari ketika pasukan itu tiba di Kem Kor dan semua 18 ahli lelaki dan pegawai pengiring mendaki semula ke Kem Botak menjejaki Umaisarah untuk mencarinya tetapi gagal.

"Saya difahamkan mereka mencarinya hingga malam dan keesokannya mereka meminta bantuan renjer dan usaha menyelamat masih dijalankan sehingga kini," katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Umaisarah menghubunginya menerusi telefon bimbit ketika beliau tiba di Gua Musang dan sekali lagi menelefon ibunya, Norazah Ismail, 43, sebaik tiba di kaki Gunung Tahan untuk memberitahu beliau akan mula mendaki.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
BERITA HARIAN, SELASA 12 FEB 2008

KUALA LIPIS: Pasukan penyelamat yang mencari penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Umaisarah Same'aun, 21, yang hilang di puncak Gunung Tahan sejak lima hari lalu masih gagal menemuinya berikutan kabus tebal.

Pasukan penyelamat terdiri daripada 63 anggota Polis, Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Unit Komando serta Unit Udara PDRM masih meneruskan operasi menggunakan helikopter.

Dua helikopter PDRM mengangkut pasukan penyelamat ke gunung itu mulai jam 7 pagi sehingga 7 petang setiap hari bagi melancarkan gerakan mencari, Nur Umaisarah yang dipercayai hilang pada ketinggian 1,705 meter.



Ketua Operasi, Deputi Superintendan Abdul Razak Yusoff, berkata operasi itu membabitkan perjalanan anggota penyelamat ke lokasi mangsa dipercayai hilang tetapi sehingga jam 5 petang semalam, mangsa belum ditemui.

Katanya, Unit Udara PDRM yang memantau sukar melihat dari jarak dekat lokasi itu kerana kabus tebal dan angin kencang sepanjang operasi sejak tiga hari lalu.

"Kita akan melancarkan gerakan mencari mangsa sehingga ditemui dengan selamat," katanya kepada pemberita di pusat operasi, Sungai Relau, di sini, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KOSMO! , RABU 13 FEB 2008

Jumpa kesan tapak kaki pelajar UiTM hilang
KUALA LUMPUR - Nur Maisarah masih hidup.

Itu keyakinan yang diluahkan oleh Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Shakaruddin Che Mood mengenai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Maisarah Sameaun, yang hilang semasa mendaki Gunung Tahan sejak Khamis lalu.

Shakaruddin ketika dihubungi KOSMO! berkata, kesan beberapa tapak kaki di atas batu dalam operasi pencarian semalam menguatkan lagi keyakinan tersebut.

"Cuaca hari ini (semalam) baik dan tidak menyukarkan operasi kecuali terpaksa dihentikan menjelang hari gelap.

"Menjelang hari kelima hari ini (semalam) seramai 104 anggota penyelamat dikerahkan termasuk Unit Udara Polis,'' kata Shakaruddin lagi.

Menurut beliau, ibu bapa Nur Maisarah dari Johor Bahru masih menunggu khabar berita anak mereka di pangkalan operasi mencari.

Semalam akhbar melaporkan gerakan mencari pelajar tersebut diperhebatkan selepas mangsa disedari hilang semasa menuruni Gunung Tahan dalam ekspedisi Komander Kesatria anjuran pihak UiTM membabitkan 35 orang pelajar.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KOSMO! KHAMIS 14 FEB 2008
Oleh HAFIZ ABBAS / mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

Bapa yakin Umai hidup


MERAPOH - "Umai, Umai... bapak ada di atas ni, kami sekeluarga tunggu, ramai kawan pun tunggu."
Demikian jeritan yang dilaungkan berulang kali oleh Sameaun Hassan, 45, menggunakan pembesar suara dalam usaha mencari anaknya, Nur Umaisarah (gambar kecil) yang masih sesat di Taman Negara Sungai Relau ketika beliau ikut serta dalam operasi mencari dengan menaiki helikopter unit udara polis semalam.

Dalam tinjauan itu, Sameaun telah mengelilingi kawasan terlibat selama kira-kira 30 minit sebelum menghentikan usaha mencari pada pukul 5.30 petang.

Sameaun ketika ditemui di Pusat Penerangan Sungai Relau, di sini mengakui beliau kini hanya berserah kepada takdir akan nasib anak sulungnya itu.

Sameaun memberitahu, meskipun Nur Umaisarah belum ditemui, beliau amat yakin anaknya masih hidup dengan penemuan beberapa barangan di lokasi dia hilang selain mendapat beberapa petunjuk penting.

"Pada Ahad lalu, dua pasukan mencari terdengar suara orang memanggil dan bunyi banir diketuk setelah mereka melaungkan azan di lokasi Umai hilang.

"Tetapi apabila diserbu ke arah ketukan itu, tiada kelibat di lihat sebaliknya hanya tempat yang dipercayai Umai tidur sahaja ditemui.

"Keesokan harinya, beberapa paket Nestum pula dijumpai di sekitar kawasan itu sebelum sehelai trek biru yang telah terkoyak bersama dua biji batu di dalam poket turut ditemui pada hari semalam," katanya.

Sameaun menyatakan, beliau turut diberitahu oleh pasukan mencari bahawa anaknya dipercayai berulang-alik di lokasi beliau hilang iaitu di antara kawasan Permatang dan berhampiran air terjun di taman negara itu berdasarkan kesan tapak kasut yang dijumpai.

Sebelum ini akhbar melaporkan bahawa mangsa disedari terpisah dan hilang semasa menuruni Gunung Tahan dalam ekspedisi Komander Kesatria anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) membabitkan seorang pelajar.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
UTUSAN MALAYSIA, 16 FEB 2008

Gerakan mencari Nor Umaisarah dipergiat


KUANTAN 15 Feb. – Usaha mencari penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Umaisarah Sameaun, 20, yang hilang sejak Khamis lalu, ketika mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Tahan, dipergiat hari ini dengan penambahan lebih ramai anggota badan mencari dan menyelamat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, seramai 22 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 8, Pangkalan Chepa, Kelantan menyertai gerakan tersebut.

Katanya, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan anggota operasi tersebut kepada 147 orang.

‘‘Selain penambahan itu, kita juga akan gunakan khidmat unit pengesan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dijangka memulakan operasi esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Terpisah

Nor Umaisarah, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan UiTM cawangan Arau, Perlis dilaporkan terpisah daripada kumpulan 36 pelajar termasuk pegawai pengiring yang menyertai program unit beruniform ketika dalam perjalanan menuruni Gunung Tahan.

Kehilangannya hanya disedari rakan-rakan ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi, Khamis lalu.

Kumpulan itu dikatakan mula mendaki gunung tersebut pada 5 Februari lalu, dan ekspedisi sepatutnya berakhir dua hari kemudian.

Usaha mencari Nor Umaisarah telah dijalankan sejak lapan hari lalu dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhilitan Taman Negara, Pahang.

Mohd. Shakaruddin berkata, usaha mencari Nor Umaisarah yang turut disertai Pasukan Komando 69 akan ditumpukan di kawasan beliau dilaporkan hilang.

METRO, 17 FEB 2008 AHAD

Jumpa seluar panjang wanita
oleh RAMLI IBRAHIM


KUALA LIPIS: Pasukan penyelamat menemui seluar panjang wanita bersama sebiji batu dalam poketnya di kawasan hutan sekitar tempat kehilangan pelajar, Nur Umaisarah Sameun di Gunung Tahan, dekat sini, tiga hari lalu.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada seluar itu milik pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis berusia 21 tahun itu yang hilang di gunung berkenaan sejak 7 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Shakaruddin Che Mood, berkata seluar itu ditemui anggota pasukan penyelamat pagi Khamis lalu ketika gerakan mencari mangsa dilakukan di sekitar lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, operasi sejak sembilan hari lalu itu masih gagal menemui mangsa, tetapi bilangan anggota penyelamat kini ditambah kepada 120 orang.

Shakaruddin berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama keluarga mangsa bagi memastikan sama ada seluar ditemui itu milik mangsa atau sebaliknya secepat mungkin.

“Kita perlu menunggu kedatangan semula bapa pelajar itu, Sameun Hassan, 44, yang baru pulang ke Johor pagi Khamis lalu selepas beberapa hari tinggal di Sungai Relau menunggu hasil operasi mencari anaknya,” katanya.

Dalam kejadian 7 Februari lalu, Nur Umaisarah, pelajar diploma perakaunan UiTM Arau, dilaporkan hilang ketika menuruni gunung itu, kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa mula mendaki gunung itu 5 Februari bersama 35 pelajar lain dalam ekspedisi beruniform UiTM diketuai tiga jurupandu penduduk tempatan Kampung Merapoh.

Kehilangan Nur Umaisarah disedari jurupandu berkenaan sebaik mendapati mangsa hilang ketika tiba di Kem Bongsai pada ketinggian 1,705 meter dari aras laut untuk berehat.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KOSMO! 18 FEB 2008 ISNIN

Ibu mahu bagi air zam zam

KUANTAN - "Mak cik bawa sebotol air zam zam dari Johor semata-mata untuk beri Umai minum jika dia ditemui nanti."

Demikian harapan Nur Azah Ismail, 43, ibu kepada Nur Umaisarah Sameaun, 21, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis yang masih hilang ketika turun dari Gunung Tahan sejak 12 hari lalu.

Semalam, Nur Azah bersama suaminya, Sameaun Hassan, 44, bersama lapan ahli keluarga lain telah bertolak dari Johor Bahru ke Taman Negara Sungai Relau, Merapoh bagi mengikuti perkembangan terbaru operasi mencari anak sulungnya.

Nur Azah ketika dihubungi berkata, beliau begitu teringin untuk melihat lokasi di mana anaknya sesat.

"Sejak Umai hilang, suami sahaja berpeluang menyertai operasi di sekitar gunung itu dan saya pula hanya mampu bertawakal dan berdoa kerana terikat dengan tugas.

"Kini, saya amat bersyukur kerana dapat ikut serta ke Taman Negara bersama suami dan ahli keluarga lain bagi mengikuti perkembangan terbaru anak kami di sana," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, pihaknya kini sedang menunggu bantuan dari Senoi Praaq, pasukan penjejak di kalangan Orang Asli yang terkenal dengan kecekapan bergerak di dalam hutan untuk memperhebatkan usaha mengesan Umai.

"Dengan kepakaran mereka, saya percaya ia akan memudahkan lagi operasi mencari pelajar itu," katanya.

Di samping itu, katanya, gerakan mencari gadis itu turut diperluaskan kepada lima kilometer di kiri dan kanan denai sejauh 25 kilometer dari Kuala Juram ke Bukit Botak.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KOSMO! 20 FEB 2008 RABU

Ibu rayu rakyat doa Umai ditemui dengan selamat

KUANTAN – Ibu kepada Nur Umaisarah Sameaun, 21, merayu rakyat negara ini berdoa agar anaknya yang sesat ketika turun dari Gunung Tahan dapat ditemui kembali.

Ibunya, Nur Azah Ismail, 43, berkata, hanya ikhtiar tersebut yang beliau dapat fikirkan setelah anak sulungnya yang hilang masuk hari ke-14 semalam masih belum dijumpai.

“Dua hari sebelum Umai sesat, kakak ada bermimpi melihat wajahnya, hanya itu saja, kakak tidak tahu apa maksud mimpi tersebut,” kata beliau semasa dihubungi.

Dalam pada itu, Nur Azah berterima kasih di atas keprihatinan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang masih menempatkan kakitangannya di Taman Negara itu bagi membantu usaha mencari anaknya.

Nur Umaisarah, pelajar Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dilaporkan sesat semasa menuruni Gunung Tahan ketika mengikuti program unit beruniform.

Kehilangannya disedari rakan-rakannya hanya selepas tiba di Kem Bukit Botak pada pukul 11.30 pagi, 6 Februari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, pasukan mencari semalam merombak rancangan bagi menjadikan ia lebih berkesan.

“Ia dibuat untuk memudahkan gerakan mencari. Sebelum ini terlalu banyak rancangan tambahan dibuat dan ia mengelirukan pasukan mencari,” ujarnya.

Tambahnya, kawasan mencari diperluaskan lagi enam kilometer persegi menghala ke barat bermula di Bukit Botak.

Ujar Mohd. Shakaruddin lagi, gerakan mencari kini diperkuatkan lagi dengan bantuan Platun Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dari Kelantan.

Ketika ditanya mengenai keberkesanan khidmat Unit Anjing Pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat (K-9), beliau berkata:

“Rancangan untuk menggunakan khidmat unit itu dibatalkan kerana faktor cuaca, helikopter masih gagal mendaratkan unit itu di Bukit Botak,” katanya.

KOSMO!, 26 FEB 2008 SELASA

Umai masih hidup
Oleh YUSNILAH MD YUNUS, NUZULSHAM SHAMSUDDIN, HAFIZ ABBAS, SHAHRULNOOR ISHAK dan KHAIRI MOHAMAD
berita@kosmo.com.my



UMAI ditemui longlai selepas 19 hari sesat di hutan Pahang

--------------------------------------------------------------------------------


KUANTAN – Selepas hilang selama 19 hari di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh dekat Lipis, Nur Umaisarah Sameaun, 21, ditemui masih hidup petang semalam.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis itu ditemui pukul 6.30 petang oleh jurupandu arah yang membawa sekumpulan pelancong asing mendaki Gunung Tahan.

Jarak pelajar itu ditemui ialah kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau sesat.

Ketika ditemui pelajar itu sedang berjalan dalam keadaan amat lemah kerana kelaparan di denai laluan di Kem Kuala Sungai Putih, Jerantut.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Shakaruddin Che Mood berkata, lokasi penemuan mangsa agak jauh dari lokasi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

“Kami dimaklumkan pelajar itu dijumpai oleh jurupandu arah dan sekumpulan pelancong yang melintasi kawasan itu untuk naik ke Gunung Tahan.

“Ketika melalui denai itu, mereka telah ternampak kelibat mangsa yang berada dalam keletihan dan tidak berdaya,’’ kata beliau.

Menurut beliau, mangsa dipercayai telah berjalan sejauh 30 kilometer dari Bukit Botak, lokasi awal di mana beliau dilaporkan hilang.

Berikutan itu, Shakaruddin memberitahu, pasukannya kini sedang berusaha untuk memberi bantuan perubatan dan makanan kepada pelajar berkenaan.

“Mangsa akan dikeluarkan menggunakan helikopter polis seawal pagi esok,” kata beliau.

Katanya, sebaik dikeluarkan dari Taman Negara itu, mangsa akan terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mengikut sumber, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dijadual akan menunggu ketibaan Umai di HTAA pagi ini dan baginda difahamkan mahu pelajar tersebut diberi perhatian sewajarnya.
.....................................................................................................................

Pakaian pelajar masih bersih

KUALA LUMPUR - Nur Umaisarah walaupun lemah, tetapi dimaklumkan sihat, malah pakaian yang dipakainya kelihatan bersih.

Seorang jurupandu arah yang mahu dikenali sebagai Rosli berkata, rakannya yang ketika itu membawa kumpulan pelancong asing telah menghubunginya sebaik menemui pelajar itu.

"Mengikut rakan saya, dia telah memberi Umai minum dan makan.

"Umai makan dengan berselera makanan dibawa oleh rombongan pelancong asing tersebut," kata beliau semasa dihubungi malam tadi.

Bagaimanapun ceritanya, rakannya memberitahu, beg mendaki yang dibawa Umai tidak bersamanya.

Tambahnya, sementara menunggu helikopter, Umai kini dijaga oleh beberapa juru pandu arah di kawasan tempat Umai ditemui di Kem Kuala Sungai Putih, Jerantut.
.....................................................................................................................

Terharu anak selamat

KUANTAN – “Umai bagi tahu dia naik semula ke Gunung Tahan untuk mencari jalan keluar sebelum tersesat pula di belakang gunung di kawasan Jerantut.”

Itu antara maklumat yang disampaikan oleh jurupandu arah yang dikenali sebagai Rosli yang memaklumkan mengenai penemuan pelajar tersebut kepada bapa mangsa Sameaun Hassan, 45.

Mengikut Sameaun, beliau mendapat panggilan daripada Rosli pukul 8 malam dan ketika itu beliau dari Taman Negara sedang memandu kereta telah sampai ke Kuala Lipis untuk pulang ke Johor.

Ekoran itu katanya, beliau telah berpatah balik dengan memandu kereta ke Kuantan untuk menunggu Umai.

“Rosli bagi tahu rakan dia jumpa anak saya. Anak saya sangat lemah dan tidak bermaya. Umai terus diberikan air,” jelasnya semasa dihubungi ketika memandu menuju ke Kuantan malam tadi.

Sameaun memberitahu, beliau yang terharu dengan penemuan anaknya itu akan membisikkan azan ke telinga anaknya itu.

“Saya rasa dia seperti dilahirkan semula. Saya mahu bisikkan azan seperti mana dia baru dilahirkan dulu,” katanya yang tiba semua di Kuantan pukul 12.45 tengah malam tadi.

Jelasnya, berita gembira itu telah dimaklumkan kepada isterinya, Nur Azah Ismail, 43, yang menunggu di rumah.

“Isteri saya pula tidak sabar-sabar mahu memberi Umai minum air zam zam,” kata beliau.

Ujarnya, isterinya akan diiringi bapa bapa saudara Umai bertolak dari Johor ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan awal pagi ini.

“Mengikut polis, Sultan Pahang mahu Umai terus dihantar ke HTAA di sini,” katanya sambil memberitahu Umai dijangka akan dibawa keluar dari lokasi dia ditemui pukul 9 pagi hari ini.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

UTUSAN MALAYSIA, 26 FEB 2008 SELASA

Umaisarah hilang 11 hari di hutan ditemui
Oleh ARSHAD KHAN

KUANTAN 25 Feb. - Penuntut tahun akhir jurusan Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, Nor Umaisarah Sameaun, 21, yang hilang ketika turun dari Gunung Tahan, sejak 14 Februari lalu ditemui di Sungai Putih, Jerantut, Taman Negara petang ini.

Menurut jurucakap polis ketika dihubungi, mangsa ditemui pada pukul 6.30 petang oleh seorang pemandu pelancong yang melalui Sungai Putih, Jerantut, Taman Negara iaitu lokasi di mana Nor Umaisarah dilaporkan hilang.

Katanya lagi, pelajar berkenaan masih tidak dapat dikeluarkan oleh pihak polis kerana hutan tebal dan mangsa dijangka dikeluarkan esok dengan menggunakan helikopter.

Mangsa hilang apabila terpisah daripada kumpulan 36 rakan dan pegawai pengiring ketika menuruni Gunung Tahan.

Mereka mendaki gunung itu sebagai aktiviti unit beruniform universiti tersebut.

Kehilangannya hanya disedari ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi.

Sejak itu gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang melibatkan 146 anggota pelbagai agensi beruniform dilancarkan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

METRO, 26 FEB 2008 SELASA

19 hari dalam hutan
Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Sekumpulan pelancong yang menyertai ekspedisi ke Gunung Tahan tidak menyangka seorang gadis ditemui dalam hutan, petang semalam, sebenarnya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, yang dilaporkan hilang sejak 19 hari lalu.

Nur Umaisarah Sameun, 21, ditemui dalam keadaan lemah oleh jurupandu yang membawa kumpulan pelancong itu mendaki gunung berkenaan dari arah Kuala Tahan, Jerantut, kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Shakaruddin Che Mood, ketika dihubungi mengesahkan penemuan pelajar itu.

Katanya, usaha membawa keluar mangsa menggunakan helikopter akan dilakukan secepat mungkin, pagi ini.

“Polis menerima laporan penemuan pelajar itu yang dibuat jurupandu kumpulan pelancong terbabit yang keluar semula dari hutan untuk ke balai berhampiran.

“Gadis itu mengaku dia Umaisarah ketika ditanya namanya oleh jurupandu itu, sekali gus menamatkan operasi pencarian yang dilakukan lebih dua minggu lalu,” katanya.

Menurutnya, Umaisarah kini berada di Kem Kuala Sungai Putih bersama kumpulan pelancong terbabit.

Dia akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sebaik berjaya dikeluarkan.

“Pasukan penyelamat tidak dapat membawa pelajar itu sebaik ditemui berikutan cuaca buruk dan usaha membawa keluar akan dilakukan secepat mungkin.

“Keluarga pelajar itu sudah dimaklumkan dan mereka kini sedang membuat persiapan menyambut Umaisarah di HTAA,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Nur Umaisarah dari Muar, Johor dikatakan mendaki gunung berkenaan pada 5 Februari lalu bersama 35 lagi rakan dalam ekspedisi Komander Kesatria anjuran universiti itu.

Mangsa dipercayai hilang ketika dalam perjalanan turun selepas disedari jurupandu sebaik tiba di Kem Bongsai pada ketinggian 1,705 meter, kira-kira jam 8 pagi, 7 Februari lalu.


Umai dikunjungi oleh Sultan Ahmad Shah
semasa berada di wad Diraja,Hospital Tengku
Ampuan Afzan.


sesuatu yang tidak dijangka-
Umai bagaikan selebriti......


Keratan akhbar-Umai bersama ibu dan adik2 yang tersayang.....


Di studio TV3-Wanita Hari Ini.....

0 comments: