BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 5 Mei 2009

Allah itu Adil

Assalamualaikum, alhamdulillah.. selepas beberapa minggu adik saya menyediakan blog 19 hari di gunung tahan, baru hari ni saya (umai) berkesempatan melakarkan serba sedikit coretan untuk semua. Hari ini saya hendak berkongsi mengenai tajuk seperti di atas.

Kita sedia maklum, setiap ujian yang menimpa seseorang hamba di muka bumi ini, pasti terselindung rahmatnya yang tersendiri. Jikalau dahulu, saya hanya percaya dengan kenyataan tersebut, tetapi pada saat ini saya bukan sahaja yakin, malah berpegang kuat dengan kepercayaan tersebut.

Terus terang saya katakan, pernah terlintas di fikiran ini tatkala musibah yang hebat (sesat selama 19 hari di gunung tahan) dahulu berlaku, ianya akan berakhir dengan berita kematian yang menyedihkan dan meninggalkan impak yang cukup berkesan buat keluarga saya.
Ya, memang benar ia meninggalkan kesan yang cukup besar bukan sahaja buat diri saya sendiri, ataupun keluarga malah buat sesiapa sahaja yang mengenali diri ini.

Baiklah, berbalik pada topik. Ingin sekali saya berkongsi bait-bait lirik nasyid ini bersama kamu semua. Jom, kita hayati dan dalami maksudnya.

"Tuhan, usah bebankan kami,
dengan bebanan yang berat,
seperti yang pernah Kau berikan,
kepada umat yang terdahulu dari kami,
Tuhan, jangan pikulkan kami,
yang tidak kami terdaya,
maafkan salah kesilapan,
ampunkanlah dosa-dosa,
rahmtilah kami"

sebenarnya lirik dan lagu dari kumpulan Devotees ini diambil daripada al-Quran. Daripada bait-bait lirik tersebut menjelaskan bahawa Allah tidak pernah meletakkan hambaNya di dalam satu musibah (atau lebih tepat ujian) sedangkan Dia tahu bahawa hambaNya itu tidak mampu untuk memikul atau menampung bebanan dan ujian tersebut. Dalam erti kata yang lebih ringkas dan mudah, Allah itu adil dan sayangkan hamba-hambaNya.

Terdapat beberapa sebab mengapa sesuatu musibah dan ujian itu diturunkan ke atas seseorang. Antaranya termasuklah, menghapuskan dosa-dosa, sebagai hukuman, dan yang paling menakjubkan sekali, sebagai penghubung rezeki yang tidak terduga yang ingin Allah salurkan kepada seseorang itu sama ada dalam masa terdekat ataupun di masa yang akan datang.

Sebagai hamba yang lemah dan serba kekurangan, sesungguhnya kita tidak mampu menduga mahupun menghidu tindakan Allah yang sememangnya maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Secara jujur, saya berasa begitu bertuah dan gembira kerana terpilih untuk menerima ujian tersebut lebih-lebih lagi saya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan yang masih normal tanpa sebarang kecederaan fikizal mahupun mental.

Jadi, ingin sekali saya berpesan kepada semua dan diri saya sendiri bahawa setiap ujian itu pasti ada pulangan yang berlipat ganda banyaknya. Yakin dan percayalah bahawa Allah tidak pernah ingin membebankan kita tetapi kita sendirilah yang kurang bijak dalam mengatur kehidupan sendiri. Ingatlah, Allah itu Adil.

0 comments: